Assalamualaikum semua,
Dah hampir 2 bulan blog ini tidak berubah. Memang satu cabaran nampaknya buat saya untuk menulis di sini. Kesibukan berpindah ke rumah baru dan terputus daripada dunia siber hampir sebulan lamanya memang membantutkan lagi usaha. Hinggakan saya terlepas untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2010. Sekarang dah bulan Februari, bagaimana diri kita? Orang kata tahun baru, permulaan baru, ibarat mendapat peluang kedua, benarkah? Apa pun semoga hari ini lebih baik daripada semalam..
Salah satu yang betul-betul meninggalkan bekas di hati saya adalah kisahnya menerima anugerah tokoh maal hijrah. Mula-mula saya sampai ke rumah beliau, terfikir juga apa istimewanya Pn. A sehingga mendapat pengiktirafan sedemikian rupa. Melihat pada rumahnya, keluarganya dan dirinya secara zahir tampak biasa-biasa sahaja.
"Hari tu tak sangka jumpa Pn. A masa sambutan maal hijrah", suami saya membuka topik.
"Ish malu saya terima anugerah tu, tapi tahun ni dah takde alasan nak menolak sebab pegawai jabatan agama tu kata sultan dah perkenan. Jadi kalau saya tolak akan merosakkan majlis", laju Pn. A menjawab. Riak wajahnya seolah-olah menafikan pengiktirafan tersebut.
"Dah berapa kali jabatan agama nak beri anugerah tu pada kak A?", saya teruja hendak tahu.
"Kali ni dah kali ke-8. Sebelum ni semua saya tolak. Kali ni pun bila mereka minta biodata untuk dibacakan semasa majlis, saya senyap tak memberi respon. Harapnya tak jadila kan, tapi tu yang pegawai jabatan agama tu telefon merayu minta saya beri juga katanya sultan dah perkenan. Saya terpaksalah mengalah", panjang lebar Pn. A menjelaskan.
"Anugerah ni sebagai menghargai usaha dan penglibatan Pn. A dalam menyantuni muallaf baru dan juga aktifnya pn. menjalankan dakwah pada yang belum Islam kan?" soal suami saya.
"Alhamdulillah saya buat semua tu untuk sampaikan Islam. Untuk dakwah. Tahun lepas saya dapat islamkan 6 orang. Saya hanya sampaikan apa yang saya tahu dan Allah yang beri hidayahNya. Masa saya dapat tahu yang saya tak boleh dah nak tolak anugerah tokoh tu, berhari-hari saya menangis. Saya malu sangat pada Allah. Ilmu yang saya ada, apa yang saya sampaikan, tenaga yang saya guna semuanya daripada Allah. Tiada pun milik saya. Daripada saya. Macam mana saya nak terima anugerah tu? Siapalah kita untuk terima pujian, sebab kalau bukan daripada Allah, kita tidak akan mampu laksanakan apa-apa. Semuanya hak Allah semata-mata", tersentap jantung saya mendengar jawapan Pn. A.
MasyAllah, hebat sungguh iman beliau. Sungguh ikhlas. Tiada langsung mengharapkan pengiktirafan manusia pada usahanya. Selama ini saya selalu mendengar dan menyebut dalam usrah bahawa segalanya dalam hidup kita ini milik Allah tetapi kerap juga tak perasan hakikat itu dalam kehidupan seharian. Apatah lagi bila dipuji-puji, mudah sekali menyelinap perasaan 'oh pandai/hebat juga aku ni' dalam hati walaupun cepat-cepat beristighfar bila tersedar. Tambahan pula dibandingkan apa yang telah berjaya dicapai oleh Pn. A dan pengorbanan beliau demi dakwah Islam terasa seperti selama ini tiada apa yang telah saya buat, sumbangkan untuk Islam. Kalau ada pun sangat sedikit.
Hadith riwayat bukhari dan muslim ada menceritakan " Rasulullah mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain dan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur: “Kamu telah memotong diri lelaki tersebut "
Sesungguhnya puji memuji dalam Islam ni ada batasannya. Pujian yang benar adalah pujian yang bebas daripada pengaruh keduniaan dan bukanlah dengan niat membodek. Tujuan pujian seharusnya untuk menggalakkan orang tesebut menambah kebaikannya dan mendorong orang lain untuk turut sama berbuat kebaikan.
Terlalu berlebihan dalam pujian dibimbangkan akan menjadikan kita pemuji yang keji kerana mengada-adakan yang tiada. Kesannya mungkin menimbulkan sikap 'ujub dalam diri yg dipuji, merosakkan keikhlasan malahan yang dipuji merasakan dirinya sentiasa benar dan hebat. Menjadi satu ujian yang besar pula pada yang dipuji.
Seharusnya apabila kita membuat satu perkara yang hebat/baik perlu berada di dalam benak kita ucapan syukur pada Allah kerana mengilhamkannya buat kita. Barulah benar keimanan kita dan menjadikan kita seorang yang sentiasa merasa rendah diri dan tawadhu'.
Apa pun, saya pulang dari rumah Pn. A dengan hati yang sebak dan penuh keinsafan. Sesungguhnya masih banyak yang perlu saya lakukan dan perbaiki dalam usaha meningkatkan keikhlasan dan mengejar keredhaanNya.







5 comments:
Betul tu kak ila, byk benda yg kita kena belajar dlm hidup, nilai ikhlas tu sgt tinggi disisi Allah,semoga kita saling mengingati.
cik ji
MasyaAllah...nak puji Pn.A. Takpe kan?sbb Pn. A tak tau kite puji die dlm blog.
salam che ji,
apa khabar? lamanya tak jumpa. terima kasih baca blog kak ila. insyAllah moga dengan saling mengingati kita sama2 mendapat keredhaan Allah. salam utk ayah man dan sepupu2 kak ila.
salam inah,
hehe takpe2, inah pun tak tahu siapa org sebenarnya kan.. itula kak long dgn long beberapa hari pastu still sembang ttg apa lesson yg kami dapat visiting this incredible da'ie..
bagusnye pn. A mak sapelah agaknye =)
wadah pon sedar hakikat tuh.
sumernye dtg dr Allah. sapelah kte ini sbg manusia.
Alhamdulillah, mgkn dgn sikap inilah yang membantunya dlm mengislamkan 6 org.
terer tuh. ;)
anyway, thanks for the pengisian kak ila. mmg bagus :D
Post a Comment